Tuesday, May 4, 2010

seuntai kata untuk dirasa

Teman,
Adakalanya persahabatan itu tercipta tanpa kita sendiri sedari…bermula dengan satu punca menjadikan kita saling mengenali. Detik perkenalan bertunas menjadi bibit indah yang payah untuk diungkap dengan bait kata…namun jelas padaku ia tetap punya makna yang tersendiri. Terlalu manis untuk dikenang. Terlalu sayu untuk ditinggalkan.

Di sini kita bersapa, tersenyum, dan ketawa. Kita mula merangkak mencari keserasian yang mungkin ada. Kegusaran timbul saat hati mula bermimpi sebuah jalinan ukhwah yang tulus dan putih. Kita punya ragam berbeza. Sesungguhnya aku adalah aku dan kau adalah kau. Dua insan yang bersama dalam watak dan perwatakan yang berlainan. Namun kita insan biasa yang saling diperlukan dan memerlukan seseorang bergelar kawan. Dan aku ditakdirkan menjadi salah seorang temanmu. Lalu aku menerimanya dengan penuh curiga.

Kita mula berkawan dalam erti kata rutin. Biasa atas keadaan yang lazim. Hari-hari berlalu dengan musim yang bersilih ganti. Tidak luntur tapi tidak juga bercambah. Kita tetap mengait ukhwah dalam benteng yang sama. Memberi yang perlu dan menerima yang harus.

Hukumnya alam, matahari tidak bersinar sentiasa. Mendung dan kelabu bisa hadir tidak kira tempat dan masa. Kita saling bertelingkah dan menuding jari. Masing-masing lupa batasan diri. Sama-sama kepingin menjadi pemenang dalam pertandingan pidato yang tidak rasmi. Tanpa diduga, rupa-rupanya terselit hikmah yang tersembunyi disebalik topeng kepuraan. Tika itu, aku mula belajar mengenali dan mengecami warnamu yang sebenarnya.

Akhirnya, kita bisa saling berkongsi. Kita bercakap tentang hidup, impian, cinta, kegembiraan, dan kesedihan. Saling menyokong dan disokong. Dikritik dan mengkritik. Aku mendapat semangat dan pengalaman baru. Diam-diam aku menjadi terlalu serasi denganmu. Dan aku sedikit leka dengan masa yang senggang. Tanpa sedar waktu terus berlari….

Kini, usia pengajian hampir menginjak 3 tahun dan hidup sebagai pelajar bakal dinoktahkan. Saat tirai berlabuh semakin dekat. Dan aku sering sahaja menghitung detik itu. Sesuatu pertemuan yang wajib berakhir dengan satu perpisahan membangkitkan gejolak yang pelbagai dalam diri ini. Sesungguhnya aku bersyukur punya teman sepertimu. Dan ingatlah saat hatimu mula dipagut sepi dan sunyi…aku merindui kenangan bersamamu. Pastinya semua kisah kita bakal tinggal kenangan dan sejarah yang bermakna dalam hidupku……

Terima kasih teman kerana pernah hadir dalam diari hidupku..
Terima kasih teman atas segala kenangan manis darimu..

p/s dari temanku kepada aku kepada kamu.

No comments:

Post a Comment