Sunday, August 2, 2009

tasbih cinta bonda

Berlalu satu lagi fasa dalam hidupku. Mengajar aku makna dewasa. Terkadang aku leka. Lupa pada janji ibu dan ayah. Dan bila aku tersungkur, sejadah itu menjadi tuju ku. Mak, maafkan aku. Mak!!! Mak!!! Teringat kata-kata emak dulu, “Mak nie siang malam doakan anak-anak mak. Mak sayangkan kamu semua. Takda yang mak beza-bazakan. Semua mak sayang. Kalau kamu berlima hidup senang nanti, mak dan bapak bukan nak susahkan kamu. Tapi mak tumpang bangga” Masa tue…aku buat-buat tak dengar. Mata aku kat majalah. Tapi telinga aku tepat menangkap setiap ayat yang terluah dari bibir seorang ibu. Perlahan aku melangkah menuju ke bilik. Pintu ku tutup. Dan air mata ini mengalir tanpa mampu ku halang. Dalam hati aku berdoa, semoga usia ibuku seiring dengan kehidupanku. Sebab aku mahu setiap inci bahagiaku, dia la insan pertama yang hadir dibenak. Bukan kekasih. Bukan sahabat. Tapi dia… Yang bertanggungjawab membuat aku kenal bulan dan bintang. Terkasar bahasaku, terlontar amarahku dan termuntah emosiku. Sebagai anak yang sudah kenal dunia. Pernah…. Arghh! Malu rasanya menyatakan yang aku pernah membuat hatimu hiba dan matamu mengalirkan mutiara kekecewaan. Hina rasanya untuk menyatakan kejahilan yang menjadi tanda kemenangan syaitan.

Bukan diriku tidak cukup didikan. Cuma aku yang tidak cukup kekuatan. Seringkali aku rebah dalam kekalahan. Dan kau yang bernama ibu, tetap setia memanjat doa. Selalu ku lihat… kau sujud di kala aku sedang mamai diamuk lena. Tahajjud mu mengiringiku disini. Mak… Betapa aku, sedang lemah disini. Mak… hulurkan tanganmu. Hangatkan tidurku. Mak.. maaf jika aku rebah. Maaf jika aku ingin mengalah. Maaf jika… jika anak sulungmu bukanlah permata hati kebanggaan sulungmu.
Katakan pada bapak, aku juga sayang dia. Lebih dari yang dia tahu. Katakan pada nenek, aku sanjung baktinya. Lebih dari jumlah keringatnya mengasuh aku dari dulu. Katakan pada adik-adik, aku bangga punya mereka. Lebih dari rasa tegasku sebagai ketua didalam rumah. Katakan pada semua…aku telah mencuba. Lebih dari timbunan anganku.

Dan sampai satu saat. Aku hilang dalam mimpi. Mimpi yang menipu diri. Aku sesat dalam lamunan. Lamunan yang penuh dengan bunian. Aku leka…aku lupa…aku…lena yang terlalu lama.

Dan tiba di satu saat lagi. Aku membuka mata. Rupanya ia fantasi rekaanku. Kugagahkan diri merangkak meneguk sisa iman. Yang selayaknya untuk manusia sepertiku. Tidak ku tumpahkan walau setitik pun. Kerana aku tersangat dahaga.

Mak…bantu aku. Berikan aku secawan lagi. Agar ia cukup menjadi bekalan sehingga aku sampai kegarisan penamat. Dan aku senyum. Dan kau ketawa. Dan bapak bangga. Dan nenek gembira. Dan adik-adik bahagia. Dan aku mampu lena…dengan tasbih cinta seorang bonda!

1 comment:

  1. kamu amat bertuah kerana masih ada insan yang bernama ibu disampingmu, hargailah dia,
    JANGANSESEKALI MYAKITINYA,kerana dialah segalanya...... berjuanglah demi ALLAH,atas nama ibumu,ANAK YANG SOLEH ADALAH PENYAMBUNG PAHALA IBU BAPANYA.W C LAM.

    ReplyDelete