Sudah tiga tahun. Yah tiga tahun. Itu hanya mengikut perkiraan yang ku ingat-ingat lupa di benakku. Rasanya kau lebih tepat dalam perhitungan usia perkenalan kita. Sebab aku selalu mengambil mudah akan segalanya tentang kita. Sebab tidak pernah ada yang istimewa tentang dirimu selain satu-satunya kesetiaan yang kau semai selama tiga tahun mengharapkan balasan sebagai penyeri hidup.
Untuk tempoh tiga tahun itu, telah aku lemparkan segala keburukan tentangku dengan harapan kau pergi la menjauh. Sebab tidak terdaya rasanya menghukum seseorang dengan penantian yang tidak berjawab apalagi aku sendiri tidak pernah serius memikirkan tentang dirimu. Mungkin aku merasakan kau tidak serasi denganku.
Hinggalah hari ini, aku mahu mengukir namamu dipaparan blog ini. Supaya kau tahu, aku juga mampu menghargai seseorang. Supaya aku sedar aku bukanlah terlalu kejam.
Hinggalah hari ini, aku sedar aku telah melakukan sesuatu yang tidak matang kerana pengaruh sekeliling yang berjaya menawan akal warasku. Dengan penuh emosi, segala amarah terluah untukmu. Akhirnya bila aku terjaga, maaf yang seikhlas kupohon. Dan kau menganggap dirimu tempat untuk aku melepaskan geram. Tumpah setitik airmata kerana itu bukan niatku. Tuhan lebih tahu.
Duhai Syah, tiada sesiapa yang betul dan salah dalam bercinta. Bukanlah satu dosa perasaan itu. Setiap orang punya keinginan untuk mencapai apa yang dihajati. Dan kau tak pernah salah kerana terus menyintai aku jika itu takdirnya. Yang salah mungkin hanya aku yang masih memikirkan tentang dia. Yang masih keliru dengan semua yang baru terjadi.
Dalam pada aku masih terkapai dalam kesedihan, kau datang dengan harapan yang lama. Terfikirkah kau tentang rasa perit itu? Dan aku tidak mahu membalas dendam dalam perhubungan ini sekaligus menjadikan kau mangsa. Mangsa kerana kegagalan aku.
Dengan jujur, kini aku mula menghargai segalanya tentang kita. Aku ingin menjadi yang terbaik sebagai yulie nurafnie yang sangat kau hafal setiap ejaan huruf namanya. Yang terbaik walau siapapun aku disisi mu nanti.
Cuma tolong, jangan ada desakan. Jangan ada harapan yang teralu tinggi menggunung. Jangan ada benci dikemudian hari.
Semoga yang terbaik berakhir dalam episod cerita kita. Walau apapun takdirnya. Aku tahu kau juga percaya bahawa takdir itu dihujung usaha kita. Jadi berusaha la untuk yang terbaik sebab aku masih dalam kekeliruan sedikit dengan keikhlasanmu. Sebab aku tidak mengukur berdasarkan tempoh masa. Jika semuanya nyata, sedarkan la aku yang masih dalam ketakutan. Yakinkan la aku dengan kesungguhan.
No comments:
Post a Comment